Isnin, 17 November 2008

Dari Sidang Media Menteri

KBS perkenal rating tentukan peruntukan untuk belia

IPOH - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memperkenalkan satu sistem penilaian berdasarkan bintang dalam menentukan peruntukan kewangan yang bakal diterima oleh pertubuhan belia di negara ini pada masa akan datang. Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ketika ini pertubuhan belia peringkat negeri dan pertubuhan belia peringkat cawangan masing-masing menerima peruntukan sama RM5,000 dan RM3,000 tanpa mengira jumlah keanggotaan pertubuhan belia yang berbeza-beza. Beliau berkata, antara kriteria yang akan dijadikan asas penilaian dalam menentukan jumlah peruntukan untuk pertubuhan belia adalah jumlah keanggotaannya serta aktiviti yang dilaksanakan oleh pertubuhan belia berkenaan. “Tujuan kita bagi duit adalah untuk pertubuhan belia menjalankan aktiviti tetapi kalau dapat duit dan tidak jalankan aktiviti, kita tidak akan bagi duit lagi. “Tidak ada jaminan lagi pertubuhan belia pasti akan dapat duit, dia akan dapat RM3,000 jika menjalankan aktiviti khususnya aktiviti melibatkan kepimpinan, keusahawanan dan kemahiran,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan belia peringkat negeri Perak di sini, semalam.

Ismail Sabri berkata, KBS akan memberhentikan bantuan peruntukan berkenaan terhadap mana-mana pertubuhan belia yang tidak menunjukkan prestasi baik dan gagal melepasi penilaian yang bakal diperkenalkan itu. Beliau mengingatkan agar pemimpin pertubuhan belia melaksanakan aktiviti yang lebih berfaedah dengan wang peruntukan yang diberikan itu. “Kita bagi duit bukan untuk bagi dia orang nak berseronok dengan duit itu...lawatan sambil belajarlah, benda-benda yang tak menguntungkan seperti buat baju, buat topi. Topi, baju, lawatan, itu bukannya aktiviti yang saya mahukan,” katanya.

Sementara itu Ismail Sabri berkata, beliau akan mendapatkan laporan terperinci daripada para pegawai kementerian terlebih dahulu berhubung kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Mohd Zin Mohamed kelmarin bahawa golongan belia kurang tertarik untuk menyertai sektor pembinaan negara disebabkan sektor itu masih berada pada tahap konvensional.

Tiada ulasan: