Isnin, 30 Mei 2011

6 Inisiatif Belia Diumumkan

Program Himpunan Sejuta Belia Putrajaya 2011

Ketika Majlis Pelancaran Program Himpunan Sejuta Belia Putrajaya 2011 semalam, Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan 6 Inisiatif Belia yang akan membawa manfaat kepada orang muda termasuk penubuhan Parlimen Belia yang memberi peluang kepada belia untuk mengemukakan cadangan kepada kerajaan.

Perdana Menteri berkata, melalui inisiatif tersebut, belia berpeluang untuk memilih wakil mereka yang seterusnya akan membahas usul serta memberi cadangan kepada kerajaan. "Kerajaan seterusnya akan memberi pertimbangan yang sebaik-baiknya terhadap cadangan berkenaan. Kita akan tentukan syarat untuk Parlimen Belia seperti menetapkan had umur, mungkin umur perlu di bawah 40 tahun atau 30 tahun."

6 INISIATIF BELIA iaitu ;

1- Mewujudkan Taman Belia di Putrajaya selaras hasrat kerajaan menjadikan pusat pentadbiran negara itu sebagai bandar raya mesra belia. Perbadanan Putrajaya diarah menyediakan kemudahan infrastruktur bagi taman itu termasuk tapak perkhemahan;

2- Mewujudkan Parlimen Belia untuk membolehkan wakil yang dipilih belia menyatakan pandangan, cadangan dan cita rasa golongan itu kepada kerajaan. Ia adalah persediaan untuk masa depan negara serta usaha kerajaan memahami pandangan, cadangan dan cita rasa belia bagi membolehkan wakil golongan itu berbahas usul dan kerajaan akan menimbangkannya;

3- Mewujudkan Portal Belia sebagai satu galeri untuk memaparkan kegiatan belia di seluruh negara;

4- Memperkenalkan Ikon Belia bagi menonjolkan tokoh belia dan remaja negara ini yang boleh menjadi idola kepada rakan lain. Mereka akan menjadi contoh kepemimpinan kepada belia;

5- Memperkenalkan Program My Corps untuk memupuk semangat khidmat sukarela di kalangan belia dan meningkatkan semangat kesukarelawanan di kalangan golongan itu dalam segala kegiatan; dan

6- Melaksanakan Program The Leader iaitu mentor-mentee yang boleh memberikan galakan ke arah mewujudkan belia yang berjaya dalam bidang keusahawanan, aktiviti sosial, kreatif dan kerjaya, sektor awam, industri, pentadbiran awam dan profesional.


Sumber : Berita Harian & Utusan Malaysia (2011/05/29)

Tiada ulasan: